Kamis, Mei 01, 2008

IBU BAPA RASULULLAH SAW

Nasab sebelah bapa : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusaiy bin Kilaab bin Murrah bin Ka'ab bin Luaiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'd bin Adnan.

Nasab yang sepakat di antara ahli tarikh hanyalah sehingga Adnan ini saja, ke atasnya menjadi perselisihan. Tetapi sepakat pula ahli tarikh mengesahkan bahawa Adnan itu keturunan Nabi Ibrahim al-Khalil. Yang jadi perselisihan ialah berapa orangkah nenek-nenek Baginda di antara Ismail dengan Adnan itu. Kata setengahnya banyaknya 40 orang, setengahnya pula mengatakan hanya 7 orang.

Berkata Abu Abdullah al-Hafiz : "Tentang berapakah bilangan nenek-nenek moyang Rasulullah SAW sejak dari Adnan menjelang Ismail dan Ibrahim itu tidaklah ada suatu riwayat yang muktamad."

Nasab sebelah ibu : Muhammad bin Aminah binti Abdul Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Hakim (Kilaab). Di sanalah pertemuan nasab ayahnya dengan nasab ibunya.


PERKAHWINAN 'ABDULLAH DENGAN AMINAH

Usia Abdul Muthalib sudah hampir mencapai tujuh puluh tahun atau lebih tatkala Abrahah menyerang Makkah dan cuba menghancurkan Ka'bah. Ketika itu umur anaknya, 'Abdullah sudah dua puluh empat tahun, dan sudah tiba masanya dikahwinkan. Pilihan Abdul Muthalib jatuh kepada Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf bin Zuhra - pemimpin suku Zuhra ketika itu yang amat sesuai pula usianya dan mempunyai kedudukan terhormat.

Maka pergilah anak-beranak itu hendak mengunjungi keluarga Zuhra. 'Abdul Muthalib dengan anaknya menemui Wahab dan melamar puterinya. Sebahagian penulis sejarah berpendapat, bahwa mereka pergi menemui Uhyab, bapa saudara Aminah, kerana waktu itu ayahnya sudah meninggal dunia dan dia di bawah asuhan bapa saudaranya.

Lamaran 'Abdul Mutalib itu diterima dengan amat gembiranya oleh keluarga Zuhra. Persiapan pun dibuat untuk melangsungkan hari kebesaran bagi kedua-dua pengantin yang sama padan bagai pinang dibelah dua itu. Pada hari perkawinan 'Abdullah dengan Aminah itu, Abdul Muthalib juga berkahwin dengan Hala, sepupu Aminah. Dari perkawinan ini lahirlah Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW.

'Abdullah bersama Aminah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan 'Arab di mana perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Sesudah itu mereka pindah bersama-sama ke keluarga Abdul Muthalib.
5


PEMERGIAN 'ABDULLAH KE SYAM DAN KEWAFATAN

Tidak berapa lama kemudian, 'Abdullah pun pergi dalam suatu usaha perdagangan ke Syam (Syria pada hari ini) dengan meninggalkan isteri yang dalam keadaan hamil.


Dalam perjalanannya itu, 'Abdullah tinggal di Syam selama beberapa bulan. Dalam pada itu beliau pergi juga ke Gaza dan kembali ke Makkah. Di tengah-tengah perjalanannya, 'Abdullah singgah ke tempat saudara-saudara ibunya,
Bani Adiy bin Najjar di Madinah, sambil beristirehat sesudah merasa letih selama dalam perjalanan. Sesudah itu beliau akan kembali pulang dengan kafilah ke Makkah. Akan tetapi kemudian beliau menderita sakit di tempat saudara-saudara ibunya itu. Kawan-kawannya pun pulang terlebih dahulu meninggalkannya. Dan merekalah yang menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya, 'Abdul Muthalib setelah mereka sampai di Makkah.

Apabila berita itu sampai kepada Abdul Muthalib, beliau mengutus anaknya yang sulung, Harith, ke Madinah, supaya membawa kembali 'Abdullah apabila beliau sudah sembuh. Tetapi sesampainya Harith di Madinah, dia mengetahui bahawa 'Abdullah sudah pun meninggal dunia dan juga dikuburkan, sebulan selepas kafilahnya berangkat ke Makkah. Kembalilah Harith kepada keluarganya dengan membawa perasaan pilu atas kematian adiknya itu. Rasa duka dan sedih menimpa hati Abdul Muthalib, lebih-lebih lagi Aminah, kerana dia telah kehilangan seorang suami yang selama ini menjadi harapan kebahagiaan hidupnya. Demikian juga 'Abdul Muthalib sangat sayang kepadanya sehingga penebusannya terhadap berhala yang sedemikian rupa belum pernah terjadi di kalangan masyarakat 'Arab sebelum itu.

Peninggalan 'Abdullah sesudah wafat terdiri daripada lima ekor unta, sekelompok ternak kambing dan seorang budak perempuan, iaitu Ummu Aiman, yang kemudiannya menjadi pengasuh Rasulullah SAW. Boleh jadi peninggalan serupa itu bukan bererti suatu tanda kekayaan; tetapi tidak juga merupakan suatu kemiskinan. Di samping itu, umur 'Abdullah yang masih dalam usia muda belia, sudah mampu bekerja dan berusaha mencapai kekayaan. Dalam pada itu beliau memang tidak mewarisi sesuatu dari ayahnya yang masih hidup itu
.


KEWAFATAN AMINAH, IBU RASULULLAH SAW

Setelah Rasulullah SAW berada di bawah jagaan Halimatus Sa'diyyah selama empat tahun lamanya, anak itu dikembalikan kepada ibunya, Aminah. Menurut adat Arab, setiap tahun Aminah pergi menziarahi ke pusara suaminya dekat kota Madinah itu. Setelah Rasulullah SAW dikembalikan oleh Halimah, tidak berapa lama kemudian, pergilah dia berziarah ke pusara suaminya itu bersama-sama dengan anaknya yang masih dalam pangkuan itu, bersama-sama pula dengan budak pusaka ayahnya, seorang perempuan bernama Ummi Aiman.

Tetapi di dalam perjalanan pulang, Aminah ditimpa demam pula, lalu menemui ajalnya. Dia meninggal dan mayatnya dikuburkan di al-Abwa', suatu dusun di antara kota Madinah dengan Makkah. Anak yang malang itu pindahlah ke dalam gendungan Ummi Aiman. Dialah yang membawa anak itu balik ke Makkah. Anak itu kemudiannya diasuh dengan penuh kasih sayang oleh datuknya 'Abdul Muttalib.

Berkata Ibnu Ishak : "Maka adalah Rasulullah SAW itu hidup di dalam asuhan datuknya 'Abdul Muttalib bin Hasyim. Datuknya itu ada mempunyai suatu hamparan tempat duduk di bawah lindungan Ka'bah. itu. Anak-anaknya semuanya duduk di sekeliling hamparan itu. Kalau dia belum datang, tidak ada seorang pun anak-anaknya yang berani duduk dekat, lantaran amat hormat kepada orang tua itu.

Maka datanglah Rasulullah SAW, ketika itu dia masih kanak-kanak, dia duduk saja di atas hamparan itu. Maka datang pulalah anak-anak datuknya itu hendak mengambil tangannya menyuruhnya undur. Demi kelihatan oleh 'Abdul Muttalib, dia pun berkata : "Biarkan saja cucuku ini berbuat sekehendaknya. Demi Allah sesungguhnya dia kelak akan mempunyai kedudukan penting.' Lalu anak itu didudukkannya di dekatnya, dibarut-barutnya punggungnya dengan tangannya, disenangkannya hati anak itu dan dibiarkannya apa yang diperbuatnya." 1

5


HALIMATUS SA'DIYYAH - IBU SUSU RASULULLAH SAW

Menurut adat Arab, anak itu tidak disusukan oleh ibunya sendiri jika dia orang terpandang, tetapi dicarikan seorang tukang menyusu dari kampung Badwi. Kerana kehidupan anak-anak itu di dusun boleh menguatkan tubuhnya dan memperbaiki lidahnya (melatih bahasa 'Arab), agar jangan kena 'hawa' kota. Menurut pendapat orang Arab, tukang susu atau tukang didik orang kota itu serupa dengan malam yang gelap gelita layaknya, menghabiskan pengharapan tentang hari kemudian anak-anak. Oleh itu, Abdul Muthalib pun mencari para wanita yang sesuai untuk menyusui Muhammad Rasulullah SAW.

Pada waktu itu, datanglah ke kota beberapa orang perempuan dari Badwi bani Sa'ad bin Bakr mencari anak-anak yang akan disusukan. Yang beruntung beroleh Muhammad ialah seorang perempuan bernama Halimah binti Abu Zu'aib bin al-Harits as-Sa'diyyah. Suaminya bernama al-Harits bin 'Abdul-Uzza, yang diberi gelaran Abu Kabsyah, berasal dari kabilah yang sama. Maka diterimanyalah anak kecil itu dari ibunya, lalu terus digendungnya ke kampungnya di Badwi Bani Sa'ad bin Bakr. Empat tahun lamanya anak itu di dalam asuhan Halimah. 1

Antara saudara-saudara Rasulullah SAW dari satu susuan di sana adalah Abdullah bin al-Harits, Anisah binti al-Harits, Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits. Bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Muthalib juga disusui di Bani Sa'ad. Suatu hari ibu susuan Rasulullah SAW ini juga pernah menyusui Hamzah semasa beliau masih dalam susuannya. Jadi Hamzah adalah saudara sesusuan Rasulullah SAW dari dua pihak, yaitu dari Tsuwaibah dan dari Halimah as-Sa'diyyah.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung bani Sa'ad ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Rasulullah SAW ke rumah Halimatus Sa'diyyah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dari ladang ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susunya penuh dengan susu.


Tidak ada komentar:

 

blogger templates | Make Money Online